MPN hulur bantuan makanan kepada 15,000 isi rumah golongan rentan

0
161

PENUBUHAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) sejak lebih setahun lalu membuahkan hasil dalam aspek kebajikan sosial dan golongan rentan apabila lebih 15,000 isi rumah diberi bantuan khususnya makanan.

Sebelum ini, hasil syor mesyuarat MPN pada 2021, Yayasan Hasanah menjalankan usaha sama dengan Yayasan Chow Kit bagi menyalurkan bantuan kecemasan kepada golongan memerlukan.

Ahli MPN yang juga aktivis kanak-kanak, Datuk Dr Hartini Zainuddin, berkata usaha itu dengan bantuan empat badan bukan kerajaan (NGO) berjaya membantu 7,737 isi rumah melalui fasa satu dan 8,000 lagi melalui fasa dua yang kini sedang berjalan.

Beliau berkata, inisiatif itu dijayakan bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Bantu membabitkan gabungan 17 NGO di Sabah, Yayasan Sejahtera dan Zero Hunger.

Katanya, Kementerian Kewangan juga meluluskan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan bantuan kecemasan itu, hasil daripada syor diutarakan MPN.

“Ketika pandemik pada Mac 2020, ramai golongan asnaf dan miskin tiada makanan langsung, malah saya menerima ratusan mesej sehari berhubung situasi itu.

“Ada yang tidak dapat menyusukan anak kerana ibu tiada makanan, malah kanak-kanak juga semakin lemah tanpa susu dan makanan…bayangkan bayi yang lahir pada 2020 ketika pandemik tidak menikmati makanan dengan betul dalam tempoh lebih dua tahun hingga kini.

“Apabila dijemput dalam MPN, ia adalah peluang untuk saya bergabung dengan wakil kerajaan, NGO dan badan korporat bagi membantu mereka di luar sana,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

MPN mula ditubuhkan pada 21 Julai 2021 dan dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa barisan menteri, pegawai kanan kerajaan, wakil parti pembangkang, pakar ekonomi, sosial dan kesihatan.

Pada masa sama, Hartini berkata, MPN memandang serius kebajikan golongan rentan iaitu antara paling terjejas akibat pandemik COVID-19 dan kos sara hidup.

Rapatkan jurang kehidupan

Beliau berkata, penanda aras baginya di MPN adalah untuk merapatkan jurang antara golongan yang susah ini bagi mendapatkan kehidupan lebih baik termasuk meningkatkan kemahiran mereka.

Katanya, adalah amat penting isu kebajikan sosial ini dilihat daripada seluruh ekosistemnya supaya golongan sasar ini dapat dibantu bagi meningkatkan taraf hidup mereka termasuk dalam aspek pendidikan dan perlindungan kanak-kanak.

Selain itu beliau berkata, pemulihan aspek kebajikan sosial tidak boleh digalas kepada satu pihak sahaja sebaliknya perlu ada gandingan antara kerajaan, NGO, pihak korporat dan komuniti untuk memastikan kejayaannya.

“Sekiranya tiada tindakan segera diambil, ini mampu menjejaskan produktiviti Malaysia serta memburukkan lagi jurang pendapatan negara.

“Pemulihan ekonomi perlu seiring dengan aspek kebajikan sosial yang perlu dijaga bagi memastikan golongan rentan turut mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here