Reman bapa dera anak kandung disambung

0
214

Oleh BADLISHAH MAT

REMAN seorang pekerja kilang yang disyaki mendera anak kandungnya di Taman Desa Jaya, Sungai Petani di Kedah yang berusia tujuh tahun disambung selama lima hari bermula esok hingga 2 Oktober ini.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Fadzlina Musa hari ini sebaik lelaki terbabit di bawa ke mahkamah dari lokap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Suspek berusia 29 tahun sebelum ini telah direman selama enam hari yang berakhir hari ini selepas dia ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, proses sambung reman itu dilakukan bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan terhadap kes terbabit.

Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang murid darjah satu cedera di badan, muka, siku, telinga dan bibir disyaki menjadi mangsa dera bapa kandungnya di Taman Desa Jaya, di sini sejak Julai lalu.

Perkara itu terbongkar apabila disedari oleh guru di sekolahnya termasuk tindakan mangsa memakai jaket ketika dalam kelas.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan pemeriksaan perubatan di badan mangsa mendapati dia menjadi mangsa dera dan kini ditempatkan diwad untuk rawatan susulan.

Polis kemudian menahan bapa kandung mangsa dan hasil siasatan lelaki itu mengaku memukul anaknya menggunakan rotan, batang penyapu dan senduk plastik sejak dua bulan lalu dengan alasan dia terpaksa bertindak demikian kerana anaknya didakwa degil dan hiperaktif.

Mangsa yang merupakan anak tunggal itu sebelum ini dijaga neneknya di Tanjung Dawai tetapi dibawa tinggal bersama bapanya dan ibu tiri sejak setahun lalu serta bersekolah di Pekan Lama, di Sungai Petani. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here