[VIDEO] Warganet terkejut, Zahid jadi trending

0
504

WARGANET meluahkan rasa terkejut di media sosial terhadap pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

Tinjauan SatuBerita di media sosial mendapati kunci kata ‘Zahid’ kini menjadi trending di aplikasi Twitter dengan lebih 13,000 hantaran menyebut nama Presiden UMNO itu.

Seorang pengguna Twitter, @YbSadik menasihatkan Ahmad Zahid supaya jangan terlalu gembira dengan keputusan itu.

“Apa pun, harap Zahid tidak terlalu gembira. Saya percaya yang paling buruk masih belum datang untuknya,” katanya merujuk kepada perbicaraan pengubahan wang haram dan pecah amanah Ahmad Zahid.

Seorang lagi pengguna Twitter, @shieranism terkejut dengan pembebasan Ahmad Zahid.

“Zahid bebas? Serius? ‘What the fish’”, tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna @datukhensem menyindir bahawa jika segelintir penyokong UMNO boleh menerima keputusan mahkamah ke atas Ahmad Zahid, maka mereka perlu menerima keputusan ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang baru-baru ini dipenjarakan selepas kalah dalam rayuannya dalam kes SRC International.

“So kalau boleh terima keputusan Ahmad Zahid, penyokong UMNO kenalah terima keputusan Najib. Vice versa. Hehe,” tulisnya dalam nada sindir.

Manakala, seorang pengguna Twitter @kroolnizam berkata, walaupun masih ada yang kecewa dengan berita yang diterima, tetapi ia harus diterima dengan hati yang terbuka dan yakin dengan sistem kehakiman.

“Aku pun kecewa dengan keputusan mahkamah hari ni tapi kena ingat pihak pendakwaan yang gagal buktikan. Terima dengan hati terbuka. 

“Haritu kita dah yakin dengan sistem kehakiman tapi bila tidak berpihak takkan tiba-tiba terus nak kata tidak adil,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @Tehoicesedap berkata, Ahmad Zahid masih mempunyai perbicaraan kes rasuah melibatkan Yayasan Akalbudi (YAB) yang perlu dilalui.

“Takpe Zahid banyak lagi kes dia kena hadap. Lets see (mari lihat),” katanya.

Ahmad Zahid, 69, bebas daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden UMNO itu.

Beliau didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here