Pan Gon puji kekuatan mental Harimau Malaya

0
289

KETUA jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Kim Pan Gon percaya anak buahnya mempunyai ketahanan mental untuk berdepan sebarang cabaran, termasuk menghadapi jaringan gol pada saat akhir dan bangkit semula untuk menang.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata sepanjang karier kejurulatihannya selama 25 tahun, beliau pernah mengalami saat sebegitu beberapa kali dan berpuas hati dengan cara pemain Harimau Malaya berhadapan dengan gol penyamaan itu, pada aksi Kejohanan Piala Raja Thailand menentang tuan rumah semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai itu, Malaysia mendahului 1-0 sebelum Thailand menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua, memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti, yang berakhir dengan kemenangan Malaysia 5-3.

“Kami sememangnya menjangkakan untuk menamatkan perlawanan (dalam masa 90 minit) tetapi berlaku (jaringan penyamaan). Sepanjang 25 tahun melatih, saya berada dalam situasi sebegini banyak kali, namun saya rasa pemain Harimau Malaya telah menunjukkan komitmen, semangat juang dan keyakinan sepanjang masa.

“Saya percaya mereka cukup kuat untuk mengatasi situasi seperti ini. Malam ini saya mempercayai sepenuhnya kesemua pemain kita dan mereka sudah melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan itu di Chiang Mai malam tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here