Tumpu isu rakyat sebelum desak PRU15

0
47

Tumpuan utama ketika ini perlu diberikan kepada menyelesaikan isu-isu rakyat dan ekonomi negara dari mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Ketua Bahagian BERSATU Maran, Kolonel Kehormat (PA) Datuk Jasri Jamaludin berkata pilihan raya umum (PRU) tetap akan diadakan dan tempoh masanya sehingga 2023.

“Eloklah kita mengutamakan bantuan kepada rakyat dan penyelesaian masalah negara yang dihadapi. Jangan sampai kumpulan B40 menjadi kumpulan B80 akibat desakan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Jasri berkata, tekanan ketika ini semakin kuat supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen oleh Barisan Nasional (BN) terutama pemimpin yang sedang berdepan dengan kes mahkamah.

“Presiden UMNO tanpa berfikiran rasional sanggup mengadakan pilihan raya pada musim banjir tanpa mempedulikan kesusahan rakyat. Apatah lagi pusat-pusat mengundi di sekolah-sekolah terutama di negeri Pahang itulah juga dijadikan tempat pemindahan sementara banjir.

“Rakyat yang saban tahun mengharungi banjir akan tahu bagaimana susah dan peritnya apabila rumah-rumah mereka ditenggelami air.

“Perdana Menteri nampaknya tidak dapat fokus dalam mentadbir negara akibat tekanan ini. Banyak isu-isu rakyat yang tidak dapat ditangani. 

Masalah kehidupan rakyat yang kekurangan pendapatan, kenaikan harga barangan harian, rakyat yang masih belum mendapat pekerjaan akibat pandemik COVID-19 dan pelbagai lagi masalah untuk rakyat meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, itu belum berbicara bab ekonomi tentang kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara, tanggungan pinjaman meningkat, tukaran mata wang ringgit yang lemah sehingga dimaklumkan ia tidak bernilai di Thailand.

“Laporan Utusan Malaysia kelmarin juga mengatakan lebih 500,000 penoreh getah berhadapan dengan pelbagai masalah terutama apabila tiba musim tengkujuh.

“Nasib mereka diabaikan dan tiada pihak dari kerajaan mengambil inisiatif membantu walaupun kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya enam agensi terlibat dengan pengurusan pekebun kecil,” katanya.

Beliau berharap pihak BN bermuhasabah dan membantu Perdana Menteri untuk mentadbir negara dengan baik.

“Bukan hanya pandai mendesak sehingga pentadbiran negara menjadi huru-hara. Jika keadaan ini berterusan, saya percaya negara kita akan berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi juga kemelesetan ekonomi berpanjangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here