Kes Siti Bainun: Bella sambung keterangan esok

0
31

REMAJA perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella, akan menyambung keterangannya esok di Mahkamah Sesyen di sini dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya, tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memberitahu pemberita, ini kerana pihak pembelaan masih belum selesai melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-18 itu.

Bella, yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 9 pagi, mula memberi keterangan secara tertutup  pada 10.30 pagi dan selesai 4.15 petang tadi.

Pada sesi pagi, Zilfinaz memberitahu Hakim Izralizam Sanusi bahawa perbicaraan kes itu dijalankan secara tertutup kerana Bella adalah mangsa dan merupakan saksi kanak-kanak yang keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak.

Sementara itu, peguam pemerhati dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kes Bella menerusi kenyataan hari ini, berpuas hati dengan proses pengemukaan saksi (Bella) dan berharap keterangan itu dapat membantu mahkamah dalam memastikan keadilan ditegakkan menurut ruang lingkup undang-undang.

“Prosiding pagi tadi dimulakan dengan pemeriksaan bilik lokasi di mana Bella memberi keterangan yang dilengkapi sistem rangkaian lengkap dalam mahkamah tertutup. 

Hal ini penting bagi mengelakkan apa-apa gangguan dan rasa ketidakselesaan kepada kanak-kanak terbabit,” menurut kenyataan itu.

Pasukan peguam pemerhati itu terdiri daripada Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Mohd Radzi Yatiman dan Datuk Ikbal Salam.

Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here