Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
APMM ketuai pencarian sembilan pemancing hilang di laut Mukah -

APMM ketuai pencarian sembilan pemancing hilang di laut Mukah

DUA  pemancing berjaya diselamatkan sementara sembilan lagi rakan mereka dilaporkan masih hilang selepas bot yang dinaiki karam pada Selasa malam di perairan Mukah dekat sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira 8.30 malam lebih kurang 34 batu nautika (63 kilometer) dari barat laut Mukah.

Sehubungan itu, katanya Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada 9 malam semalam, manakala Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mukah bermula pada 8 pagi tadi.

“Kru sebuah kapal, MT Capella yang melalui perairan itu sekitar 3 petang semalam melaporkan telah menyelamatkan dua lelaki yang ditemui hanyut sebelum membawa mereka terus ke Pelabuhan Senari di Kuching.

“Berdasarkan maklumat daripada mangsa yang selamat, mereka keluar dari jeti Penakub, Mukah pada 19 Sept untuk memancing di laut. Semasa kejadian, mereka sempat memakai jaket keselamatan dan berpaut pada tong ikan sebelum diselamatkan kru kapal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

.Mohd Khairol berkata MRSC Kuching turut memaklumkan insiden tersebut kepada agensi berkaitan serta memajukan permohonan aset kepada Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikalan Laut Sarawak (JPLS), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Sarawak Shell.

Dua kapal dan sebuah pesawat udara APMM, selain sebuah bot serta pesawat udara polis dan sebuah kapal JPLS terlibat dalam operasi pencarian ini, sementara pihak Sarawak Shell pula menyediakan platform untuk membantu aset yang terlibat.

“Keluasan sektor pencarian pada hari pertama adalah 78.40 batu persegi (203 km persegi). Cuaca di lokasi kejadian pada hari ini dalam keadaan berombak antara 1.0 dan 1.5 meter, manakala angin bertiup dari tenggara berkelajuan 20 hingga 30 km sejam,” tambahnya.

— BERNAMA