Pegawai kanan universiti awam direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah

0
295

SEORANG pengarah bahagian pengurusan fasiliti di sebuah universiti awam direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini berhubung dakwaan menerima suapan sebuah kereta bernilai lebih RM170,000.

Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan reman tersebut terhadap suspek yang berusia 50-an bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sebelum itu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pukul 9.10 pagi sebelum dibawa keluar 30 minit kemudian, lapor Astro Awani.

Semalam, media melaporkan suspek ditahan kira-kira jam 3 petang Isnin di pejabat SPRM Melaka di Alai selepas diminta hadir untuk memberi keterangan.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, lelaki itu ditahan selepas dipercayai menerima rasuah sebuah kereta jenis Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM174,500

Beliau berkata, suapan itu diterima daripada syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai lebih RM1.6 juta.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here