Oleh WARTAWAN SATU BERITA
PAS Pulau Pinang menyeru rakyat Malaysia supaya matang dan bijak membuat keputusan dengan menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, rakyat Malaysia juga diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan baharu dan janji manis PH terutama menjelang PRU-15.
Sehubungan itu ujar beliau, Pas Pulau Pinang menyokong kenyataan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kekal menolak khemah besar bersama PH.
“Tempoh 22 bulan pemerintahan PH sebelum ini menyaksikan negara berada dalam polemik serta permasalahan perkauman, perlembagaan negara, agama Islam serta institusi raja diganggu gugat oleh mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Fauzi, Pulau Pinang yang merupakan nadi utama DAP-PH dilihat menjadi ‘tikus makmal’ kepada pembangunan tidak seimbang yang sedang mereka terajui masa ini.
Bahkan katanya, pelbagai isu berkaitan projek memberi impak negatif kepada rakyat Pulau Pinang antaranya cadangan projek tambakan laut di selatan perairan negara itu (PSR).
“Justeru, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu-Islam harus buka mata untuk melihat wajah sebenar dalang yang berselindung di sebalik topeng PH iaitu parti yang menganuti fahaman sosialis,” katanya.
Oleh itu jelas beliau, gagasan penyatuan ummah di Pulau Pinang bakal mengorak langkah membawa perubahan setelah hampir tiga dekad negeri itu diterajui oleh DAP-PH.
Malahan katanya, tiada yang mustahil jika rakyat Pulau Pinang bersatu hati menyahut seruan penyatuan ummah demi kesejahteraan di negeri itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.