KEPUTUSAN Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada musim banjir merupakan tindakan tidak rasional.
Ketua Bahagian Bersatu Maran Datuk Jasri Jamaludin berkata, tekanan-tekanan daripada pemimpin berdepan kes mahkamah pula menjadikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak fokus dalam mentadbir negara.
“Banyak isu-isu rakyat yang tidak dapat ditangani. Masalah kehidupan rakyat yang kekurangan pendapatan, kenaikan harga barangan harian, rakyat yang masih belum mendapat pekerjaan akibat pandemik covid-19 dan berbagai lagi masalah untuk rakyat meneruskan kehidupan.
“Itu kita belum berbicara bab ekonomi. Kenaikan OPR, tanggungan pinjaman meningkat, tukaran mata wang ringgit yang menjadi sangat lemah, saya diberitahu sehingga Ringgit Malaysia sudah tidak bernilai di Thailand,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengenai kesanggupan Ahmad Zahid mengadakan PRU pada musim banjir, beliau berkata, tindakan itu jelas tidak mempedulikan kesusahan rakyat.
Apatah lagi katanya, pusat-pusat mengundi di sekolah-sekolah terutama di negeri Pahang dijadikan tempat pemindahan sementara mangsa banjir.
“Rakyat yang saban tahun mengharungi banjir akan tahu bagaimana susah dan peritnya apabila rumah-rumah mereka ditenggelami air,” ujarnya.
Jasri berkata, daripada sibuk memperkatakan tentang PRU, lebih baik tumpuan diberikan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat dan penyelesaian masalah-masalah negara hari ini.
“Jangan sampai kumpulan B40 menjadi kumpulan B80 akibat desakan yang tidak memberi manafaat kepada rakyat,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.