Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peniaga diingat jangan salah guna logo halal-Idris -

Peniaga diingat jangan salah guna logo halal-Idris

PENIAGA diingatkan untuk tidak menyalahguna logo halal di produk-produk keluaran mereka sebagai alat untuk melariskan jualan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

“Soal seperti ini saya harapkan peniaga jangan tipu, kita bukan nak halang orang lain makan tapi yang kita nak jaga ialah keperluan orang Islam itu sendiri.

“Jangan sampai menggunakan agama seperti ini, menggunakan tanda halal (palsu) semata-mata untuk beri nilai komersil pada produk jualan,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Nadwah Ulama dan Ilmuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) (NUIM): Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di sini hari ini.

Idris berkata demikian ketika mengulas mengenai bungkusan produk gula-gula yang menggunakan logo tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), dan kandungan gula-gula berkenaan didapati mengandungi bahan tidak halal.

Pada 11 Sept lepas Bahagian Hab Halal Jakim dalam hantaran Facebooknya mengesahkan bahawa produk gula-gula itu menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim.

Terdahulu Idris dalam ucapan semasa merasmikan persidangan itu berkata aspirasi Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera mengangkat tinggi nilai perpaduan serta membawa satu harapan besar untuk rakyat bersama-sama membantu memulihkan negara dan masyarakat yang terjejas teruk akibat krisis kesihatan awam COVID-19.

BERNAMA