Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bayaran Fasa 3 dan rayuan BKM bermula Selasa ini-PM -

Bayaran Fasa 3 dan rayuan BKM bermula Selasa ini-PM

PEMBAYARAN  Fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang atau tiada pasangan, bujang serta mereka yang telah lulus rayuan.

Menurutnya keseluruhan pembayaran berkenaan dijangka selesai pada 27 Sept.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.

“Bantuan Keluarga Malaysia merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata untuk BKM Fasa 3, setiap penerima sedia ada bakal menerima sehingga RM900, manakala lebih 80,000 penerima yang diluluskan rayuan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan, termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan, Jun lepas.

Ismail Sabri berkata sehingga bulan ini, sebanyak RM5.9 bilion disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan.

Menurutnya, masih terdapat bayaran Fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada individu yang layak pada Disember ini.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” katanya.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai Selasa ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

— BERNAMA