Bapa kandung pelakon remaja disiasat kes amang seksual, cabul

0
266

BAPA kandung kepada pelakon remaja perempuan yang ditahan minggu lalu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara hari ini, untuk siasatan berhubung kes amang seksual dan cabul.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata lelaki berusia 43 tahun itu diserahkan IPD Shah Alam kepada IPD Klang Utara bagi membantu siasatan kes terhadap mangsa berusia 15 tahun itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377A/354 Kanun Keseksaan bagi kesalahan amang seksual dan cabul.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang, esok,” katanya, lapor BH Online.

Di samping itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata reman terhadap bapa pelakon remaja berhubung kes pukul yang disiasat pihaknya tamat hari ini.

“Kita serahkan suspek kepada IPD Klang Utara untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Pada Isnin lalu, media melaporkan bapa pelakon remaja berkenaan dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Menurut Mohd Iqbal, mangsa membuat laporan tersebut pada 8 September lalu.

Pada 6 September lalu, suspek ditahan di kediamannya di Kedah atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya, selain polis turut merampas telefon bimbitnya dan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon muda itu mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk, menerusi satu temu bual di laman YouTube.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here