Yonnyboii bawa pulang RM200,000 menang Album Terbaik AIM 23

0
328

Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 menyaksikan artis hip hop, Yonnyboii mengungguli kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) pada acara yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan Yonnyboii membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif kepada penggiat industri kreatif.

Penyanyi Ernie Zakri dan Syamel pula mencatat kejayaan manis apabila lagu Goodbye Hello dendangan mereka memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik yang menawarkan ganjaran RM50,000.

Ernie turut meraih trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati manakala Arddley Nicholas menjulang trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dengan Lagu Pilu.

Untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan Di Dalam Lagu kemenangan berpihak kepada kumpulan V.E, Lagu Bahagiakan Dia hasil paduan suara Liza Hanim dan Shila Amzah pula diangkat sebagai pemenang Runut Bunyi OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama dan juga Persembahan Vokal Terbaik Duo/Kolaborasi Terbaik.

Janna Nick yang memenangi kategori Video Muzik Terbaik membawa pulang ganjaran berbentuk dana bernilai RM20,000.

Penyanyi Alyah pula mengungguli kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Thank You Allah manakala trofi Lagu Pop Etnik Terbaik dimenangi single Adat Kasih nyanyian Ziha Salleh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here