Najib keluarkan 46 cek berjumlah RM10.3 juta sepanjang 2011 

0
196

DATUK Seri Najib Razak mengeluarkan 46 keping cek berjumlah RM10.3 juta bagi membuat pembayaran kepada pelbagai pihak membabitkan beberapa individu termasuk bekas menteri, UMNO bahagian, yayasan, syarikat dan hotel pada 2011.

Perkara itu disahkan saksi ke-37 pendakwaan iaitu Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi ketika dirujuk kepada dokumen penyata akaun persendirian Najib dengan nombor akaun berakhir 694.

Saksi itu yang dirujuk kepada dokumen berkenaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, berkata antara penerima individu cek itu ialah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menerima RM100,000 dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan berjumlah RM200,000.

Katanya, antara parti politik yang menerima cek daripada akaun persendiriannya pula ialah UMNO Bahagian Tun Razak dan UMNO Bahagian Indera Mahkota; masing-masing berjumlah RM200,000.

Pembayaran melalui cek turut dibuat ke atas beberapa syarikat termasuk Jakel Trading berjumlah RM360,000; Institut Terjemahan Negara Malaysia Bhd (RM966,000); Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM2.2 juta); ORB Solutions Sdn Bhd (RM2.45 juta) dan Shangri- La Hotel Kuala Lumpur (RM395,782).

“Yayasan Tun Rahah pula menerima pembayaran daripada bekas Perdana Menteri itu berjumlah RM2 juta.” katanya memetik laporan BH Online.

Uma Devi berkata, Najib turut menerima faedah sebanyak RM1.25 juta melalui pembayaran dikreditkan ke dalam akaun persendiriannya itu pada tahun sama melalui 11 transaksi antara Februari hingga Disember 2011.

Saksi itu turut mengesahkan terdapat beberapa kemasukan wang faedah dengan jumlah yang diterima berbeza- beza mengikut baki semasa akaun pada setiap bulan. 

Katanya akaun terbabit dibuka pada 13 Januari 2011 dan ditutup pada 30 Ogos 2013.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here