MAHKAMAH Tinggi hari ini, membenarkan permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya untuk diberi lanjutan masa bagi memfailkan afidavit balas dalam kes saman terhadap penerbit filem Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikatnya.
Tiga subsidiari itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, manakala dua syarikat berkenaan membabitkan Red Granite Pictures Incorporated serta Red Granite Capital Limited.
Peguam mewakili Riza Shahriz dan dua syarikat itu, Datuk Hariharan Tara Singh berkata, keputusan itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar, Azlinda Ahmad Sharif, menerusi e-mel.
“1MDB selaku plaintif ketika ini sedang mengumpul maklumat berkaitan cadangan pindaan oleh pembelaan dan menunggu arahan selanjutnya daripada anak guam mereka.
“Plaintif perlu memfailkan afidavit balas selewat-lewatnya 26 September ini, manakala defendan (Riza Shahriz dan dua syarikatnya) perlu memfailkan afidavit terhadap plaintif selewat-lewatnya 11 Oktober ini.
“Pengurusan kes ditetapkan pada 13 Oktober ini untuk menetapkan tarikh pendengaran,” katanya memetik laporan BH, hari ini.
1MDB dan tiga subsidiarinya diwakili peguam, Rabindra S. Nathan dan Vanessa Thong Chon Yen.
Syarikat terbabit memohon supaya Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited menyampaikan kepada plaintif senarai dokumen yang berada atau pernah berada dalam milikan mereka.
1MDB juga memohon pihak terbabit menyampaikan kepada plaintif mengenai notis pemeriksaan iaitu tarikh, masa dan tempat dokumen asal dinyatakan dalam senarai itu untuk diperiksa plaintif, peguam atau pekerjanya.
Antara dokumen dan surat diminta ialah berkaitan penerimaan dana sebanyak AS$10,173,104 oleh Red Granite Pictures Incorporated dan ‘representasi’ dikatakan dibuat kepada Riza Shahriz, bahawa wakil keluarga diraja Saudi bersetuju memberi pinjaman bagi tujuan perniagaan defendan.
Selain itu, dokumen pembelian hartanah di New York, California dan London termasuk invois, nota kredit, baucar pembayaran dan resit berkaitan pemindahan dana.
Ia daripada akaun Red Granite Capital kepada akaun faedah yang dipegang firma guaman Shearman & Sterling LLP (Shearman US) di Amerika Syarikat, pada Jun 2012 dan November 2012.
Dokumen lain ialah surat berkaitan penerimaan dana berjumlah AS$238 juta oleh Red Granite Capital Limited dan semua surat antara defendan dan BSI Singapore berkaitan penerimaan dana itu.
Pada saman yang difailkan 7 Mei tahun lalu, plaintif mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$248 juta daripada mereka.
Ia didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana itu untuk kepentingan peribadi dan kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai hartanah.
Oleh itu, plaintif memohon perisytiharan Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan penggunaan dana tidak adil, selain memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan.
Riza Shahriz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan mendakwa, memperoleh pinjaman berkenaan daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat, bukan daripada dana 1MDB.
Beliau mendakwa sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk memperoleh pinjaman daripada bank, jadi dia memutuskan untuk mendapatkan pinjaman daripada individu atau syarikat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.