[VIDEO] Banyak perniagaan dijangka ‘gulung tikar’ tanpa moratorium – Presiden PKS

0
389

CADANGAN pemberian moratorium khas untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dilihat sebagai langkah tepat bagi meningkatkan pertumbuhan dan pemulihan sektor tersebut yang terkesan akibat pandemik.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Ding Hong Sing berkata, kebanyakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana akan ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak memandang serius pemberian moratorium kepada sektor tersebut.

“Ekonomi semakin teruk. Barang naik, gaji sikit, ini semua isu yang besar perlu diambil kira. Jangkaan perniagaan kecil dan sederhana yang akan tutup adalah sekurang-kurangnya 5 ke 10 peratus.

“Namun, bagi perniagaan mikro, lebih daripada itu. Saya menjangkakan lebih 10 ke 20 peratus akan tutup,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Pada Ahad, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan moratorium kepada sektor PMKS, yang kini turut terjejas dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Katanya, kenaikan OPR mengakibatkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih pasca Covid-19.

Dalam pada itu, kata Ding Hong, pemberian moratorium tidak akan menjejaskan ekonomi, sebaliknya ia akan membantu peniaga jika mereka menerima moratorium khas yang dicadangkan bekas Perdana Menteri itu.

“Kalau (kerajaan) boleh tolong, bagus untuk ekonomi peniaga. Jika tidak, ia buruk untuk peniaga. Ia merupakan kesan dua hala.

“Jika tidak dapat bantu, ekonomi akan jatuh dan sukar untuk bangkit semula,” katanya lagi.

Namun katanya, pemberian moratorium itu merupakan jalan penyelesaian sementara dan kerajaan harus meneliti, kaji serta membuat perancangan jangka panjang bagi membantu sektor tersebut, sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

“Memang membantu, tetapi kerajaan kena fikir rancangan selepas 6 bulan untuk peniaga-peniaga ini. 

“Macam sakit kepala, saya makan panadol, tetapi ia hanya jalan penyelesaian sementara. Kena cari punca kesakitan, dan jalan penyelesaian. Bagaimana untuk selesaikan krisis ekonomi negara, semua itu kena rancang dalam fasa ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan diharap memberi perhatian yang serius terhadap perkara ini kerana sektor PMKS merupakan antara sektor penting untuk pembangunan ekonomi negara.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menjelaskan, sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang mewakili hampir 50 peratus tenaga kerja. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here