Beruang matahari ditangkap

0
320

BERUANG matahari yang berkeliaran di sawah padi Ban Canal, Parit 13 Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor hujung bulan lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), semalam.

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, haiwan liar itu ditangkap di sekitar Parit 12, Sungai Nibong kira-kira 2 pagi.

Menurutnya, Perhilitan sebelum ini menjalankan pemantauan harian susulan aduan awam mengenai haiwan itu.

“Operasi menyelamat kemudian digerakkan bersama Pusat Menyelamat Hidupan Liar Sungkai (NWRC) selepas menerima aduan terbaru, Khamis lalu.

“Perhilitan Sabak Bernam membuat rondaan dan menemui seekor beruang di dalam kawasan kebun ubi.

“Penjejakan kemudian diteruskan dan menjumpai kesan umbut kelapa yang musnah dipercayai akibat perbuatan haiwan itu,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurutnya, tembakan pelali ke atas beruang itu dilakukan untuk memudahkan usaha menangkap haiwan itu.

“Doktor Veterinar Perhilitan kemudian melakukan pemeriksaan morfologi dan kesihatan haiwan itu, didapati beruang terbabit berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Dennis Ten berkata, beruang matahari itu kemudian dipindahkan ke Pejabat Perhilitan sebelum dilepas semula di habitat asal.

Pada 29 Ogos lalu, media melaporkan penduduk gempar apabila menemukan seekor beruang berkeliaran di sawah padi kawasan Parit 13 Sungai Nibong.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu disedari seorang wanita yang merakam video pergerakan haiwan liar berkenaan di belakang rumahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here