Tiga termasuk bekas Pengerusi PIBG, pemilik syarikat antara ditahan SPRM

0
231

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000 pada 2016.

Menurut sumber, perintah reman semala tiga hari bermula hari ini sehingga 12 September itu dikeluarkan Majistret Nor Azean Mohd. Sohaini ketika SPRM mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

“Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 34 hingga 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Mereka yang ditahan adalah kontraktor, pemilik syarikat pembekal bahan pembinaan serta bekas pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Selangor.

“Mereka dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM300,000 kepada PIBG sekolah salah seorang suspek bagi kerja pembinaan blok baharu di sekolah berkenaan sedangkan kerja-kerja itu tidak disempurnakan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here