Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Warga emas jual daging babi hutan, arak seludup ditahan -

Warga emas jual daging babi hutan, arak seludup ditahan

SEORANG lelaki warga emas ditahan kerana disyaki menjual daging babi hutan tanpa permit yang sah serta menjual arak seludup di Taman Harmoni, Simpang Renggam dekat Kluang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 60-an itu yang ditahan pada pukul 5.09 petang, turut dipercayai memiliki selaras senapang patah yang panjangnya lebih kurang 1.22 meter tanpa lesen.

Beliau berkata, pihaknya juga menemukan enam butir peluru tertera tulisan ‘GB Buck Shot’, empat butir peluru tertera tulisan ‘SB Corona’ dan sebutir peluru tertera tulisan ‘Kerambit 1’.

“Sebanyak 83 bungkusan plastik dipercayai mengandungi daging babi hutan yang akan dijual kepada warga asing di sekitar kawasan berkenaan dan sebuah peti ais.

“Polis juga merampas 28 karton arak tanpa cukai pelbagai jenis yang juga dipercayai dijual kepada warga asing di kawasan terbabit serta sebuah kereta Proton Saga, dengan jumlah rampasan RM27,935,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bahrin berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.

Selain itu, lelaki berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun selain Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, sekiranya bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun. – Bernama