RM60.6 juta masuk akaun peribadi Najib pada 2011 – Pegawai bank

0
366


MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM60.6 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank Datuk Seri Najib Tun Razak dalam dua transaksi pada 2011.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, berkata berdasarkan penyata akaun berakhir nombor 694, kemasukan wang RM30,449,929.97 ke dalam akaun bekas perdana menteri itu adalah pada 24 Feb dan RM30,179,909.46 pada 14 Jun 2011.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen ini (penyata akaun) AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Merujuk borang pembukaan akaun individu atas nama Najib pada 13 Jan 2011, saksi pendakwaan ke-37 itu berkata hanya Najib penandatangan tunggal cek dan boleh melakukan urusan terhadap akaun peribadi AmIslamic Bank miliknya.

“Akaun (694) ini dibuka dengan bayaran deposit sebanyak RM500 sahaja. Penandatangan sah bagi akaun persendirian ini adalah Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai penandatangan tunggal sah bagi cek yang dikeluarkan. Ini bermaksud, hanya beliau sahaja (Najib) boleh menandatangani cek dan melakukan urusan menerusi kesemua akaun ini,” katanya.

Saksi itu berkata pada 2013, Najib menyerahkan surat kepada Pengurus Cawangan  AmIslamic Bank Berhad bertarikh 26 Ogos 2013 untuk menutup akaun semasa dan simpanannya (yang berakhir 694 dan 481) serta mengarahkan pihak bank untuk memindahkan wang di dalam akaunnya itu berjumlah RM150 juta ke akaunnya yang lain iaitu AmPrivate Banking-1MY.

Uma Devi berkata surat itu juga menyatakan segala cek yang tidak digunakan akan dipulangkan kepada pihak bank serta Najib tidak boleh mengeluarkan apa-apa cek selepas penutupan akaun itu.

“Arahan lain di dalam surat ini adalah untuk debitkan baki amaun dari akaun-akaun tersebut menggunakan baki berkenaan untuk mengeluarkan deraf bank di atas nama AmPrivate Banking-1MY,” katanya.

Beliau berkata lampiran yang dikepilkan bersama surat itu adalah slip pemindahan wang yang telah diproses oleh pihak bank selaras dengan surat arahan tersebut. 

“Berdasarkan slip itu, wang berjumlah RM12,436,711.87 telah dipindahkan ke akaun AmPrivate Banking-1MY pada 30 Ogos 2013 yang akaun tersebut (AmPrivate Banking) itu adalah milik Datuk Seri Najib yang dibuka di Cawangan Jalan Raja Chulan pada 31 Julai 2013,” katanya.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here