Banjir Pakistan: MRA lancar tabung bantuan, sasar derma RM1 juta 

MALAYSIAN Relief Agency (MRA) telah melancarkan ‘Tabung Bantuan Banjir Pakistan’  bagi meneruskan operasi bantuan kemanusiaan di Pakistan yang sedang dilanda banjir teruk. 

Presidennya, Dr. Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan-bantuan kemanusiaan akan ditumpukan kepada Wilayah Khyber Pakhtunkhwa kerana ia merupakan antara kawasan yang terjejas teruk serta beberapa kawasan lain.

Katanya, MRA telah menyalurkan bantuan kecemasan awal berjumlah RM50000 bagi memulakan operasi bantuan kemanusiaan di sana. 

“Sebanyak satu juta ringgit Malaysia disasarkan untuk membantu operasi dan bantuan di Pakistan.

“Fokus utama bantuan yang bakal digerakkan adalah menyediakan bantuan asas pasca bencana seperti penyediaan air bersih, penyediaan khemah sementara, dan agihan pek makanan asas kepada mangsa banjir di lokasi terjejas yang sukar dicapai di kawasan bencana,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Dalam masa yang sama katanya,MRA melalui unit perubatan MRA (MRA Medic) akan membuat persiapan awal bagi menghantar petugas perubatan yang dijangka akan membantu mangsa yang berada di kem pemindahan.

Menurut beliau tindakan itu dibuat apabila melihat bencana banjir berisiko tinggi bagi kes-kes melibatkan penyakit berjangkit. 

“Justeru, kami mengalu-alukan sumbangan untuk ‘Tabung Bantuan Banjir Pakistan’ bagi membantu mangsa yang terjejas teruk akibat banjir teruk. Sumbangan rakyat Malaysia boleh dibuat menerusi akaun Maybank Malaysian Relief Agency Berhad (acc no: 5640 9820 8020) atau layari laman rasmi Malaysian Relief Agency www.mra.my dan facebook untuk maklumat lebih lanjut.

“Untuk maklumat lanjut mengenai program yang dijalankan oleh Malaysian Relief Agency (MRA), hubungi 03-9174 4672 atau layari laman web rasmi MRA di www.mra.my dan ikuti perkembangan terkini MRA melalui media sosial MRA di Facebook , Instagram, Twitter dan Youtube,” jelasnya. 

Terdahulu pada Rabu, media melaporkan kejadian banjir telah  menenggelamkan satu pertiga wilayah Pakistan dan mengakibatkan lebih 1100 orang meninggal dunia. 

Menteri Perubahan Iklim Islamabad, Sherry Rehman berkata kejadian banjir berkenaan berpunca daripada hujan monsun paling lebat dalam sejarah. —SB