Warga emas berputih mata RM1.8 juta lesap diperdaya Macau Scam

0
250

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki warga emas berputih mata apabila wang simpanan lebih RM1.8 juta lesap selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian melalui kaedah penghantaran barangan baru-baru ini.

Mangsa merupakan pesara swasta berusia 67 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid, mangsa memaklumkan telah mengenali seorang wanita yang mendakwa seorang warganegara Brazil dan bekerja sebagai doktor di United Kingdom melalui Facebook pada Mei lalu.

“Setelah mangsa dan wanita itu berkenalan kira-kira dua minggu, suspek berjanji untuk mengirimkan barangan dan wang tunai berjumlah USD2.8 juta kepada mangsa.

“Namun pada 13 Jun, seorang wanita lain yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang menghubungi mangsa dan meminta bayaran cas servis penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya melakukan 11 transaksi pemindahan wang dalam talian ke dalam beberapa akaun bank diberikan suspek membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM1,871,540.

Menurut Rupiah, mangsa yang merupakan seorang pesara swasta hanya menyedari ditipu setelah tidak menerimanya barang yang dijanjikan sehingga kini, selain kedua-dua wanita yang berurusan dengannya sebelum ini gagal dihubungi.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pihaknya menggesa orang ramai yang menerima tawaran meragukan daripada mana-mana pihak agar berhati-hati dan melaporkan kepada polis bagi mengelak diri mereka menjadi mangsa penipuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here