Rakan baik Siti Bainun rakam video Bella untuk beri kepada Syed Azmi

0
381

RAKAN kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, bahawa beliau merakam video remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella di kondominium di Wangsa Maju di sini.

Pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, berkata rakaman itu diberikan kepada aktivis kanak-kanak dan penasihat Rumah Bonda, Syed Azmi Alhabshi, sebagai bukti bahawa terdapat penderaan terhadap Bella.

Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan, yang mewakili Siti Bainun, pada perbicaraan kesnya yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun tersebut.

Beliau menafikan merancang untuk membuat rakaman video tetapi singgah secara tiba-tiba dan mula membuat rakaman.

Bagaimanapun, Zurianty menafikan beliau merakam video itu dalam keadaan emosi sedih untuk meyakinkan Syed Azmi, namun bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Syed Azmi adalah individu pertama menerima video berkenaan.

Selain Syed Azmi, katanya, rakaman video itu dihantar kepada beberapa individu lain kerana ketika itu beliau trauma selepas menemui Bella di unit kondominum berkenaan.

“Saya kemudian menghubungi kawan-kawan lain untuk mendapatkan sokongan emosi selain memberitahu apa yang patut dilakukan kerana ketika itu saya dalam keadaan ‘blank’ (kosong) tapi saya perlu bertindak untuk membantu siasatan”, katanya.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 14 Sept ini. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here