Kes remaja perempuan jatuh kondominium tiada unsur jenayah

0
229

SIASATAN polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes   seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru, dekat sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mendapatkan maklumat berhubung remaja berusia 13 tahun tersebut di sekolahnya.

“Setakat ini, pihak polis telah mendapatkan keterangan daripada ahli keluarga remaja itu dan menurut ibu bapanya tiada sebarang masalah atau kejadian luar biasa berlaku sebelum remaja terbabit dijumpai terjatuh di aras satu kondominium terbabit.

Buat masa ini, kita tidak pasti apa yang berlaku terhadap remaja itu atau apa yang bermain di dalam fikirannya sebelum kejadian itu berlaku. Malah, ibu bapa mangsa juga keliru dengan kejadian yang menimpa anak mereka dan mangsa sebelum itu juga tidak dimarahi oleh sesiapa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sebanyak 15 basikal bernilai RM30,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Unit Polis Pelancong di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) di sini,  penyerahan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.

Semalam, mayat remaja berusia 13 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung kawasan parkir kenderaan kondominium tersebut kira-kira 6.30 pagi oleh ibu mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here