Kakitangan Jabatan Laut mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

0
302

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG kakitangan Jabatan Laut Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM670.51 pada Mei 2020.

Hazreen Mohd, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, Hazreen yang bertugas sebagai Pembantu Laut Gred 22 didakwa telah membuat tuntutan bayaran lebih masa sebanyak RM359.41 bagi tugasan penjagaan Rumah Api Bukit Segenting, Batu Pahat pada April 2020 sedangkan tertuduh tidak melakukan perkara tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa membuat tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM311.10 bagi April 2020 bagi tugasan sama sedangkan tertuduh tidak melakukan perkara itu.

Atas kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Dalam rayuannya, tertuduh yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dengan agensi berkenaan memberitahu menanggung seorang isteri, tiga anak dan ibu yang sudah uzur.

“Selain turut menanggung hutang arwah ayah yang sudah meninggal dunia pada Mei lalu, saya juga kini digantung tugas dan hanya menerima separuh bulan gaji.

“Oleh itu saya memohon mahkamah memberikan jaminan berjumlah RM2,000, kerana hanya itu yang saya mampu,” katanya yang tidak diwakili peguam.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tertuduh diberi jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan, selain pasport antarabangsa tertuduh perlu diserah kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 29 September ini dan turut meminta tertuduh melantik seorang peguam untuk mewakili semasa perbicaraan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here