Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Remaja patah kaki ditimbus tanah runtuh -

Remaja patah kaki ditimbus tanah runtuh

SEORANG remaja lelaki patah kaki manakala seorang wanita cedera ringan dalam kejadian tanah runtuh di rumah panjang di Jalan Entabai-Pakan di Sarikei, Sarawak pada Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 5.42 petang dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor bergegas ke lokasi.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati berlaku tanah runtuh di belakang dapur dan bilik di empat daripada 36 pintu rumah panjang tersebut.

“Mangsa yang cedera iaitu remaja lelaki, Pagih Anak Belula, 13, yang patah bahagian kaki selepas tertimbus tanah sehingga aras paha dan berjaya dikeluarkan penduduk sebelum bomba tiba.

“Seorang lagi mangsa wanita, Telenjing Anak Gandi, 59, pula mengalami cedera ringan di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan Kosmo!

Dalam pada itu, remaja tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Nanga Entaih bagi mendapatkan rawatan.

Ujar kenyataan itu lagi, anggota bomba memasang sawar-sawar (pengadang) di kawasan runtuhan berkenaan supaya tidak didekati oleh penduduk.

“Pihak bomba menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada serta mengarah kesemua empat penghuni pintu tersebut berpindah ke rumah saudara yang lain,” ujarnya.

Kesemua empat pintu rumah tersebut melibatkan seramai 12 penghuni.