Lebih 79,000 tandatangan petisyen supaya Najib tidak diampunkan Agong

0
411

SETAKAT 11 pagi hari ini, lebih 79,000 tandatangan tidak memperkenan pengampunan diraja terhadap Dato’ Sri Najib Razak berhubung pemenjaraan kes penyelewengan dana SRC International.

Petisyen itu dilancarkan dalam talian pada semalam ditujukan kepada Istana Negara memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak sebarang kemungkinan untuk mengampuni jenayah Najib Razak.

Petisyen di laman Change.org menjadi taruhan kumpulan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) demi menidakkan Najib menerima pengampunan diraja seperti gesaan penyokong Najib.

“Najib Razak baru sahaja didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi negara tetapi ada pihak yang sudah mula memikirkan untuk memohon pengampunan kepada DYMM YDP Agong. Kita tak boleh biarkan ini berlaku. Tandatangan petisyen ini untuk diserahkan kepada YDP Agong.

“Daulat Tuanku. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian,” memetik petisyen tersebut.

Turut dinyatakan bahawa Ahli Parlimen Pekan yang dikenakan hukuman penjara 12 tahun itu telah merosakkan imej negara.

“Sebagai rakyat, patik-patik sekalian berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara ini tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara.

“Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.

“Ampun Tuanku, bimbinglah patik-patik sekalian agar dapat mengangkat semula kepala dan bangga sebagai rakyat Malaysia yang melawan rasuah dan salah guna kuasa,” demikian antara petikan dalam petisyen berkenaan.

-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here