SEORANG remaja perempuan antara lima individu ditahan dalam kes seorang bayi dilarikan dari sebuah pangsapuri di Bukit Tengah, Pulau Pinang, kelmarin.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata lima suspek berusia 14 hingga 43 tahun itu ditahan di dua lokasi di Bukit Mertajam dan Kedah, selepas ibu mangsa berusia 24 tahun membuat laporan.
“Ibu mangsa mahu mengambil anaknya dari rumah pengasuh pada 5.30 petang, sebelum pengasuh berusia 65 tahun memberitahu cucunya berusia 14 tahun membawa lari mangsa ketika dia solat.
“Ibu mangsa bertanya kepada pengawal keselamatan dan dimaklumkan suspek mendukung mangsa dengan berjalan kaki dan kemudian menunggang motosikal. Ibu mangsa cuba menghubungi suspek, namun tidak berjaya, sebelum membuat laporan polis,” katanya menurut Harian Metro.
Tan berkata, remaja itu yang merupakan suspek utama bersama teman lelakinya berusia 18 tahun dan rakan teman lelaki suspek yang juga 18 tahun, ditahan di sebuah pondok di Machang Bubok pada 11.50 malam hari sama.
Katanya, tangkapan itu membawa polis ke sebuah rumah di Kulim, Kedah, di mana bayi perempuan berusia sembilan bulan itu berada.
“Siasatan mendapati suspek utama membawa mangsa ke pondok di Machang Bubok terlebih dahulu, sebelum bapa tiri teman lelaki suspek yang berusia 30 tahun datang dengan memandu van kilang, kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah di Kulim.
“Ketika serbuan di Kulim, bayi itu dijaga ibu teman lelaki suspek yang berusia 43 tahun dan polis menahan kelima-lima mereka untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah semua suspek tiada rekod jenayah lampau dan direman empat hari mulai semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek utama melarikan bayi itu kerana mangsa terlalu comel dan mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dengan teman lelaki.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar, sama ada ia mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi.”
Bayi itu yang merupakan anak tunggal dijaga pengasuh, iaitu nenek suspek utama sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 sebulan. Selain mangsa, wanita itu turut menjaga tiga kanak-kanak lain.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.