KENAIKAN kos harga bahan mentah dan import bukan hanya menggusarkan orang awam tetapi juga golongan peniaga yang semakin ‘terhimpit’ dengan senario itu.
Perkara itu diakui, Amer Hamzah Ahmad,50 atau lebih dikenali sebagai chef Amer yang resah setiap kali mahu membeli bahan mentah untuk perniagannya.
“Saya merasa susah hati setiap kali mahu membeli barang mentah kerana harga akan berubah-ubah setiap bulan. Keadaan ini menyukarkan peniaga seperti saya apabila kos pembelian ‘lari’ dari jumlah yang diperuntukkan.
“Misalnya, harga cili kering, bulan ini RM12.50 sekilogram,bulan depan sudah naik hingga RM20 sekilogram. Begitu juga harga tepung gandum, bulan ini harga RM2.80 bulan depan sudah naik hingga RM3.80.
“Kenaikan ini bukan sikit-sikit tetapi secara mendadak hinggakan setiap lima peratus perbelanjaan yang saya ‘spare’ tidak cukup untuk tampung kos bahan belian,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.
Menurutnya, jika situasi ini berterusan, tidak mustahil ramai peniaga yang akan gulung tikar.
“Kita ambil contoh daging kambing. Dahulu daging kambing perap boleh dibeli pada harga RM34 tetapi kini ia melonjak kepada RM46 untuk 500 gram.
“Itu belum lagi kos pembungkusan seperti plastik, foil dan sebagainya. Semua naik serentak, memang terasa.
“Memanglah ada sesetengah pelanggan faham situasi kenaikan kos ini, tetapi bukan semua. Saya sendiri terpaksa kurangkan kuantiti bagi mengelak ‘over price’. Tetapi kalau setiap bulan harga berubah, saya nak kurangkan apa lagi,” katanya.
Katanya lagi, dia berharap pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu bagi menstabilkan semula harga bahan mentah.
“Kita faham memang harga bahan semua meningkat sekarang, tetapi kalau boleh stabilkan bukan berubah-ubah setiap bulan. Dahulu pun memang ada kenaikan, tetapi tidaklah mendadak seperti sekarang.
“Kami golongan peniaga tidak minta banyak, cuma berharap stabilkan harga barang mentah, janganlah setiap bulan asyik berubah. Bulan ini beli harga lain, bulan depan harga lain pula. Macam mana kami nak berniaga,” katanya-SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.