MAHKAMAH Tinggi di sini menetapkan ganti rugi RM300,000 untuk pengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma pada 2015.
Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu menerusi prosiding dalam talian, selepas mendapati Khairuddin berjaya membuktikan dakwaan penahanannya menyalahi undang-undang terhadap kerajaan.
Tetapi, Quay menolak dakwaan Khairuddin terhadap kerajaan atas pendakwaan berniat jahat.
Pada Mei 2018, Khairuddin memfailkan saman terhadap pegawai Bukit Aman, Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah; Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu, Habibi Majinji; serta Ketua Polis Negara ketika itu, Datuk Seri Khalid Abu Bakar untuk menuntut ganti rugi atas penahanan salah.
Turut dinamakan dalam saman itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Masri Daud, bekas peguam kanan persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas peguam negara,Tan Sri Apandi Ali dan kerajaan.
Khairuddin berkata, beliau ditahan pada 18 Sept 2015 di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan terbabit aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Selepas dibebaskan, dia ditahan semula di bawah Sosma pada 23 Sept 2015 dan ditahan sebelum didakwa pada 12 Okt 2015 atas dakwaan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan serta kewangan negara.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu mendakwa tindakan polis terhadapnya berniat jahat, mencabul hak kebebasannya dan mencemarkan nama baik serta imejnya sebagai ahli politik,lapor FMT.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.