Isu bekalan telur ayam lebih mendesak – Mydin

0
307

KEKURANGAN besar-besaran bekalan telur ayam dalam pasaran tempatan adalah isu yang lebih mendesak ketika ini, berbanding bekalan ayam.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, beliau telah menekankan masalah kekurangan bekalan telur ayam sejak tiga bulan lalu, namun kerajaan masih tidak menangani masalah itu.

“Kekurangan bekalan telur ini perlu ditangani segera. Kerajaan sudah memberi subsidi telur ayam, jadi sama ada subsidi tidak mencukupi atau kartel mengawalnya.

“Kita hanya mendapat 50% bekalan,” katanya memetik laporan FMT.

Beliau berkata, terdapat bekalan ayam yang mencukupi di Malaysia tetapi bukan lebihan bekalan seperti yang dilaporkan baru-baru ini dan  bersetuju dengan larangan eksport kekal untuk tempoh sebulan dua lagi. 

Meluahkan kebimbangannya, beliau berkata, harga ayam naik dua kali sejak dua minggu lalu, malah sebanyak 30 sen sekilogram pada minggu lepas dan keadaan bekalan dan harga masih tidak stabil.

“Memandangkan kerajaan masih memberi subsidi ayam, kita tidak boleh mengeksport buat masa ini. Lebih baik kita pantau sehingga harga jualan turun kepada kira-kira RM7 sekilogram sama seperti sebelum berlakunya kekurangan.

“Kebimbangan saya ialah sekiranya kerajaan menghapuskan larangan eksport, harga akan melonjak,” katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menunggu sebulan dua lagi sebelum menarik balik larangan mengeksport ayam bagi memastikan bekalan tempatan mencukupi dan harga menjadi stabil.

Eksport ayam dilarang mulai 1 Jun, di tengah-tengah berlakunya kekurangan bekalan ayam.

Ameer berkata, sebelum berlaku kekurangan itu, harga ayam berada di sekitar RM6.50 hingga RM6.90 sekilogram, selepas itu, harga siling rasmi ditetapkan pada RM8.90 dan kemudian dinaikkan kepada RM9.40.

Harga siling runcit telur ayam Gred A ditetapkan pada 45 sen setiap satu, Gred B pada 43 sen dan Gred C pada 41 sen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here