Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Musnah kolam di Gunung Inas, Azeez jangan ikut sentimen orang tidak berilmu -

Musnah kolam di Gunung Inas, Azeez jangan ikut sentimen orang tidak berilmu

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menasihatkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim agar tidak terikut-ikut sentimen orang tidak berilmu sehingga mahu memusnahkan kolam takungan di Gunung Inas, Baling begitu sahaja.

Muhammad Sanusi berkata, tiga kolam yang menjadi sumber air untuk tanaman durian Musang King di gunung itu tidak boleh dimusnahkan sewenang-wenangnya kerana ia dimiliki oleh pihak tertentu.

Katanya, sesiapa sahaja perlu membaca laporan daripada jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) yang menyatakan bahawa kolam tersebut bukanlah punca kepada kejadian aliran puing serta banjir lumpur pada 4 Julai lalu.

“Kolam itu ada pemiliknya jadi tak bolehlah senang-senang nak musnahkan orang punya. Selain itu, perlu juga baca laporan jawatankuasa khas ditubuhkan KetSA terdiri daripada ratusan pakar yang menyatakan kolam tersebut bukan punca kejadian banjir.

“Menurut pakar geologis, kalau tiga kolam itu pecah serentak pun tanpa ada hujan, air itu tidak akan sampai ke bawah gunung sebab tak cukup kapasiti. Air dari kolam tersebut akan hilang di ‘jalan’ macam itu saja.

“Sebagai pemimpin, beliau (Abdul Azeez) perlu bersandarkan kepada pakar geologi,” katanya selepas merasmikan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mammografi digital di pusat perubatan swasta tersebut, hari ini.

Semalam, Abdul Azeez memaklumkan tiga kolam takungan air bersaiz gelanggang futsal di puncak gunung tersebut akan dimusnahkan dalam tempoh terdekat kerana dikatakan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

Menurut Abdul Azeez, beliau sudah merujuk masalah itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji akan menyelesaikannya segera. – SB