Bapa, teman wanita ditahan dera anak OKU

0
228

SEPASANG kekasih ditahan selepas disyaki mendera  wanita Orang Kurang Upaya (OKU) masalah saraf di sebuah rumah di Lembah Jaya Selatan, Taman Sri Intan Ampang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita OKU berusia 31 tahun itu merupakan anak kepada seorang lelaki berumur 60 tahun yang ditahan bersama kekasihnya berumur 47 tahun pada 8.30 malam.

“Tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Ampang yang menerima pesakit iaitu mangsa yang dibawa oleh ambulans dari tempat kejadian selepas dilaporkan terjatuh oleh ahli keluarganya pada 12 tengah hari.

“Hasil rawatan mendapati ada beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan seperti lebam di bahagian mata kanan mangsa disyaki dipukul dan ditumbuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata beberapa objek seperti kayu penyapu, penyangkut baju dan kayu mop disyaki digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas.

Beliau berkata bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh dan teman wanitanya yang tidak bekerja itu tiada rekod jenayah serta saringan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

“Kedua-dua individu direman empat hari bermula hari ini hingga 24 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here