Majlis Peguam kutuk ancaman ke atas Ketua Hakim Negara, badan kehakiman

0
419

MAJLIS Peguam Malaysia mengutuk tindakan berniat jahat, tidak wajar serta berbentuk ancaman yang dilemparkan terhadap badan kehakiman dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn, berkata jelas sekali tindakan berbentuk sentimen antikehakiman oleh pihak tidak bertanggungjawab itu tidak adil kepada badan kehakiman negara.

“Majlis Peguam Malaysia bersolidariti dengan badan kehakiman, menyeru badan kehakiman kekal kukuh dan tegas pendirian serta tidak tunduk kepada tekanan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Berita Harian pada Jumaat.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sudah pun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun.

Karen berkata, Majlis Peguam juga terkejut dengan pelbagai perkembangan terkait kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya memperlihatkan sistem keadilan negara disalahgunakan dan dihina.

Merujuk pelbagai tindakan di pihak perayu, beliau berkata, orang ramai mesti sedar bahawa tahap profesionalisme yang diharapkan daripada peguam bela dan peguam cara adalah diukur berdasarkan peraturan sedia ada mengenai amalan dan etika.

“Majlis Peguam berharap semua peguam mematuhi peraturan itu bagi memelihara standard profesional tertinggi dalam menegakkan maruah profesion undang-undang,” katanya.

Karen menjelaskan Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978 menjadi kayu ukur kelakuan peguam di negara ini dan mencerminkan tugas utama peguam kepada mahkamah sebagai pegawai mahkamah.

Justeru, katanya, Majlis Peguam mengambil ketetapan bahawa apabila seorang peguam yang baru mengambil alih satu-satu kes, peguam itu mesti mematuhi Peraturan 6(a) Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978.

Peraturan itu menyatakan bahawa seorang peguam bela dan peguam cara tidak boleh menerima sebarang arahan guaman baharu melainkan mereka sangat pasti dapat hadir dan mewakili pelanggan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Peguam baharu juga mesti mematuhi Peraturan 24(a) kaedah sama yang memperuntukkan bahawa peguam bela dan peguam cara hendaklah berusaha sedaya upaya untuk bersedia menghadapi perbicaraan pada hari yang ditetapkan.

“Peraturan itu perlu dibaca secara bersama, yang mana kedua-dua peraturan itu jelas menunjukkan bahawa seorang peguam mesti sudah membuat pertimbangan dan penilaian bahawa beliau boleh meneruskan kes itu sebelum memutuskan sama ada dia boleh mengambil kes itu,” katanya.

Peguam juga, katanya, wajib dan bertanggungjawab kepada mahkamah, menghormati pentadbiran keadilan dan menegakkan maruah profesion undang-undang, yang mana ia perlu ditanam dan berakar umbi dalam semua peguam.

Beliau mengakui Najib berhak melantik peguam baharu untuk mengambil alih kes atas apa juga sebab, namun perayu perlu mengambil risiko menghadapi kemungkinan mahkamah tidak semestinya membenarkan sebarang permintaan penangguhan.

“Peguam yang mengambil alih kes perlu bersedia untuk meneruskan kes pada mana-mana tarikh yang sudah ditetapkan oleh mahkamah.

“Pada masa sama, anak guam yang memberhentikan peguamnya atau peguam menarik diri mewakili anak guamnya, masih tertakluk kepada kawalan dan budi bicara keseluruhan mahkamah, sama ada membenarkan pelepasan itu atau sebaliknya.

“Ringkasnya, kelulusan penarikan diri daripada kes itu bukan kelayakan automatik,” katanya turut menyuarakan kebimbangan atas pelbagai cubaan yang disifatkannya untuk melemahkan sistem keadilan melalui strategi tidak bertanggungjawab.

Katanya, ia ternyata satu bentuk penyelewengan kepada sistem keadilan negara dan penyalahgunaan proses mahkamah.

“Peguam bela dan peguam cara yang terbabit dalam perbuatan itu jelas bertindak secara tidak profesional dan perlu menghadapi tindakan tatatertib,” katanya turut meluahkan pandangan berhubung tindakan Najib memberhentikan khidmat peguamnya sebanyak dua kali.

Karen berkata, tarikh perbicaraan kes berkenaan bukan saja sudah ditetapkan lebih awal, malah turut dihebahkan kepada umum.

“Sebarang percubaan untuk menukar naratif kepada salah satu penganiayaan yang dikatakan, adalah sangat nakal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here