Polis mabuk hilangkan dokumen siasatan dengan butiran peribadi 400 individu

0
266

SEORANG pegawai polis Jepun mabuk dan tertidur di jalanan, menyebabkan dokumen siasatan mengandungi butiran peribadi kira-kira 400 orang termasuk suspek jenayah hilang.

Menurut laporan Japan Times, pegawai polis berusia 49 tahun di wilayah barat Hyogo itu didakwa kehilangan beg mengandungi dokumen terbabit antara jam 11 malam Jumaat lalu hingga 5 pagi kelmarin.

Pegawai berkenaan keluar minum bersama rakan sekerjanya dan tertidur ketika berjalan pulang sambil membawa beg terbabit.

Laporan menyebut, apabila dia bangun dari tidur berhampiran stesen kereta api, dia tidak menemui beg mengandungi dokumen yang mempunyai maklumat kira-kira 400 orang itu.

Kejadian itu juga bukan pertama kali insiden memalukan pihak berkuasa membabitkan kebocoran maklumat selepas minum sehingga mabuk.

Jun lalu, pihak berkuasa di bandar Amagasaki berkata, seorang kontraktor kehilangan beg yang mengandungi pemacu USB berisi data peribadi 460,000 penduduk selepas individu itu keluar untuk minum dan tertidur di luar dalam perjalanan pulang.

Namun pemacu terbabit ditemui sehari selepas berita kehilangannya tersebar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here