Penduduk SBCR bantah laluan utama jadi jalan pembinaan

PENDUDUK Sungai Buloh Country Resort Fasa 4D (MySBCR) menggesa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menkaji semula kelulusan membenarkan jalan utama di kawasan itu sebagai laluan kenderaan berat bagi pembinaan projek perumahan Ruma 33.

Menurut penduduk, kelulusan tersebut sudah lagi tidak sesuai memandangkan jalan utama itu diguna penduduk yang semakin bertambah untuk aktiviti harian.

Pengerusi Persatuan Penduduk MySBCR, Mohammed Syam Bin Mohd Yunus, 45, berkata, projek itu sudah diluluskan pada 2015 tetapi pengusaha tidak melakukan kerja sehingga sekarang 2022.

Hujan lebat pada Jumaat tidak menghentikan semangat penduduk untuk menghadiri bantahan yang dibuat kepada pemaju

“Kini penempatan sudah padat, budak-budak pun dah ramai malah jalan makin sempit sebab kereta sudah penuh parkir di luar rumah.

“Jadi MPKS perlu melihat semula keputusan lalu kerana sudah tidak sesuai, nilai semula dan tukar cadangan asal kepada yang baharu,” katanya kepada SatuBerita selepas mengetuai kira-kira 100 penduduk mengadakan bantahan pada Jumaat.

“Isu paling utama ialah keselamatan kerana di sini tidak ada taman permainan, budak-budak ramai, penduduk keluar berjoging dan berbasikal pun ramai, sekiranya ada jentera berat keluar masuk, boleh mengancam keselamatan dan kami takut kerana susah nak jangka apa yang akan berlaku,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zamri Zakaria, 45, turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana kesesakan lalu lintas yang bakal dihadapi.

“Trafik sesak pada waktu utama jadi tidak sesuai digunakan untuk pembinaan, kami membantah tindakan pemaju dan berharap mereka mencari alternatif lain sebagai jalan pembinaan.

“Kami minta pihak majlis cuba perhalusi syarat-syarat yang diperlukan supaya mereka tidak menggunakan jalan ini demi keselamatan penduduk,” katanya.

Penduduk setempat, Andi Syahdy

Selain itu, Andi Syahdy, 42 percaya kehadiran jentera berat akan mengakibatkan kerosakan infrastruktur kawasan kediaman.

“Isu ini berkaitan infrastruktur, apabila jentera-jentera berat datang, bahagian pententungan dibawah akan rosak, bila kita nak minta pemaju bertanggungjawab selepas itu, memang sukar.

“Kalau mereka pentingkan keselamatan penduduk, kalau dia ambil berat tentang perkara ini, bantahan hari ini takkan berlaku orang pun tak akan buang masa datang (bantahan),” katanya. – SB