CADANGAN lesen vokasional khas kepada penunggang perkhidmatan P-Hailing tidak sesuai dilaksanakan.
Malah penunggang P-Hailing yang ditemui SatuBerita pada Khamis menyifatkan cadangan tersebut tidak masuk akal.
Selain itu, mereka bukan sahaja tidak setuju tetapi kecewa dengan kerajaan yang tidak mengendahkan kesulitan yang dihadapi, tetapi tampil dengan cadangan yang bakal menambah beban mereka.

Muhammad Adni, 29, berkata, walaupun pengambilan lesen itu tidak seperti GDL, cadangan yang dikeluarkan itu masih tidak masuk akal dan menambah beban penghantar makanan.
“Tidak masuk akal. Saya rasa seperti nak jumpa depan-depan, nak cakap depan-depan. Sebab mereka langsung tidak pandang apa kerja kami.
“Kalau ikutkan kami pun tidak mahu kerja panas-panas ini, tetapi ini sahajalah cara kami untuk dapat yang lebih sikit bantu keluarga, bantu kawan-kawan yang susah,” katanya ketika ditemui SatuBerita.
Namun katanya, jika kadar pembayaran atau ‘fare’ ditambah, mungkin ramai akan setuju dengan cadangan pengambilan lesen vokasional khas tersebut.
“Tetapi kalau buat GDL, fare masih RM5, untuk apa GDL ini? Tiada kelebihan untuk rider,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Alif, 23, berpendapat pengambilan penghantar makanan harus diberhentikan untuk membantu menaikkan kadar pembayaran, bukan dengan pengambilan lesen.
“GDL dan lesen lain itu mengarut. Waktu kami mogok, rider tidak minta lebih, minta untuk hentikan pengambilan rider sahaja,” katanya.
Katanya, kerajaan harus bersifat lebih terbuka dengan mendengar suara penghantar makanan secara turun padang dan dengar keluhan bagi mengetahui kemahuan penghantar makanan.
“Orang-orang atasan bagi jadi rider dulu, biar kami pula duduk ‘dalam’, rasa apa kami rasa, itu sahaja kami minta,” katanya.

Dalam pada itu, Azman Jaafar, 49, berkata, sekatan pengambilan penghantar makanan harus dilakukan untuk mengawal kadar pembayaran.
“Kita mogok untuk kenaikan fare, bukan untuk lain-lain. Memang banyak perubahan kenaikan fare.
“Rasa kecewa sikitlah, persatuan mohon lain, tetapi kerajaan bagi yang lain. Kalau boleh penuhi permintaan itu dahulu,” ujarnya.

Bagi seorang penghantar makanan separuh masa, Omar Abdullah, 22, pengambilan lesen itu membebankan kerana dirinya yang juga merupakan seorang pelajar membuat perkhidmatan penghantar makanan hanya sekadar mencari ‘duit poket’.
“Bagi saya benda itu tidak perlu, saya pelajar nak buat separuh masa sahaja, nak cari duit poket. Jadi jadi terbebanlah jika buat begitu.
“Takdelah membantu rider sangat. Kerajaan seolah-olah tidak dengar suara rider, putar belitkan apa yang rider nak,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mencadangkan pengambilan lesen vokasional khas bagi penunggang perkhidmatan p-hailing.
Wee berkata untuk lesen vokasional khas itu yang namanya akan ditentukan kemudian, penunggang p-hailing tidak perlu ke institut memandu sebaliknya hanya perlu menduduki kursus induksi selama tiga jam yang akan dilaksanakan secara dalam talian.
Katanya, lesen vokasional khas itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada status penunggang p-hailing selain membolehkan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengetahui bilangan penunggang yang ada dalam negara dan memudahkan penyaluran bantuan kepada komuniti itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.