[VIDEO] Selepas tular ‘goreng’ lagu Cromox, Aizil tidak pandang ke belakang lagi

0
896

EMPAT tahun lalu beliau pernah memukau netizen dengan petikan gitar solo persis ahli muzik profesional.

Dengan mengenakan pakaian seragam sekolah, beliau dengan bersahaja ‘menggoreng’ lagu daripada band metal legenda Cromox.

Ramai yang menonton kagum kerana bagi pelajar sekolah berusia 15 tahun melakukan petikan itu sememangnya amat luar biasa .

Menjengah di ruang komen ramai yakin pelajar tersebut mampu pergi jauh dalam dunia muzik.

Pautan laman Youtube tular Aizil Alif beraksi di pentas sekolah membawa lagu kumpulan metal legenda, Cromox.

Baru-baru ini SatuBerita sempat bertemu pelajar berkenaan ketika mengadakan persembahan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Mengimbau detik itu remaja berusia 19 tahun dikenali Aizil Alif hanya tersenyum sambil cuba mengingati episod yang sedikit sebanyak mengubah perjalanan hidupnya.

“Alhamdulillah nama saya banyak di media sosial, ramai menjemput saya untuk membuat persembahan.

“Rancangan televisyen seperti Malaysia Hari ini, Tom Tom Bak dan Asia Got Talent antara yang memberi peluang menunjukkan bakatnya.

“Saya gunakan peluang itu sehingga sekarang, untuk saya dapat kerja, membuat persembahan di majlis perkahwinan dan program makan malam,” katanya.

Tuntutan persekolahan memerlukan Aizil bijak membahagikan masa untuk mempertingkatkan kemahiran selain memenuhi jemputan.

“Lumrah bila dikenali, kita jangan sombong dan riak. Sehingga sekarang masih ada memberi sokongan dan semangat.

“Ada juga yang nak menekan, biar saya jatuh tetapi saya menganggap perkara negatif sebagai suatu perkara positif, praktis (latihan) tetap kena buat hari-hari,” tambah Aizil.

Bercerita detik awal pembabitannya, Aizil berkata, semuanya bermula dengan gitar mainan yang dibelikan ayahnya sewaktu berusia 12 tahun.

“Setiap hari pulang dari sekolah saya berlatih dan kesungguhan itu menarik perhatian keluarga.

“Cukup sebulan ayah tanya sama ada hendak main gitar betul-betul atau tak. Esoknya kami ke kedai gitar dan beli gitar yang paling sesuai. Kami bukan orang senang beli mana yang mampu dan belajar dengan ayah selama tiga bulan.

“Selepas itu pakcik saudara memperkenalkan saya dengan gitaris kumpulan Sweet Charity, Rosli Muhalim yang membuka kelas gitar di Wangsa Maju.

“Rosli yang membahasakan diri sebagai ‘ayah Li’ tanya lagu Sweet Charity apa yang boleh saya mainkan.

“Saya main lagu Sejuta Wajah. Orang ramai tengok kata, ‘habislah abang Rosli, budak ini lagi dua tiga tahun habislah,” ujarnya yang berguru selama tiga tahun bersama Rosli.

“Seronok belajar dengan ayah Li kerana dia ajar dengan ikhlas bukan sebab wang ringgit.

“Dia juga layan macam anak sendiri, sampai dia kata ‘Alif dah khatam dengan ayah Li, ayah sudah tak tahu nak beri apa lagi’.

“Rasa macam sekejap sahaja, teringat sewaktu dia mengajak saya untuk menonton persembahan langsung beliau di sekitar Shah Alam, tiba-tiba dia jemput saya ke atas pentas, menggigil lutut tak berhenti bermain (gitar) di hadapan orang ramai,” tambah Aizil menggambarkan perasaan menjadi ‘artis jemputan’ selama beberapa minit di hadapan 50 orang.

Kenangan manis belajar bermain gitar bersama Rosli Muhalim, gitaris terkenal kumpulan rock Sweet Charity

Walaupun rock menjadi genre kegemarannya, namun di satu sudut lain beliau turut menggemari genre klasik ini.

“Mungkin pengaruh keluarga, dari kecil ayah pasang kaset lagu lama, rock kapak, P Ramlee, Ramli Sarip jadi dari situ saya mendalami,” katanya sambil menambah darah seni mungkin datang daripada datuknya, Ahmad Marbawi atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Perak’.

Dalam pada itu, Aizil berharap industri muzik rock tanah air terus bersatu dalam berkarya agar dapat mekar seperti zaman kegemilangannya pada tahun 90-an.

“Impian saya untuk kumpulkan semua band rock yang dah lama terdiam dalam satu pentas.

“Dalam industri rock kena banyak bersabar sebab dunia ini, pahit itu lebih banyak dari manis. Suka duka memang harus ditempuh, mentaliti harus kuat dan kental sebab jatuh bangun memang adat.

“Selebihnya saya serahkan kepada Allah, dari segi ikhtiar, saya berjuang sebaik mampu berdakwah dalam muzik untuk merapatkan ukhwah,” katanya. -SB

Kerap mempamerkan bakat seni beliau di jalanan sejak 12 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here