Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengamal perubatan tradisional didakwa membunuh -

Pengamal perubatan tradisional didakwa membunuh

SEORANG pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang mendapatkan rawatan di rumahnya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Che Hong Chiew, 51, yang hadir ke mahkamah memakai baju kelabu, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hong Chiew didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Lim Sin Lue, 41, di ruang tamu di sebuah rumah di Jalan Perdana 2/20, Pandan Perdana di sini, antara jam 4.45 hingga 5 petang, pada 27 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 28 Julai lalu, media melaporkan seorang pengamal perubatan tradisional ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, seorang wanita menghubungi pihak polis, memaklumkan anaknya berusia 41 tahun meninggal dunia pada jam 6.35 petang.

Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan berbaring dan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah pengamal perubatan tradisional itu, lapor BH Online.