Mizz Nina tidak mahu terus bersedih

0
351

“HIDUP harus diteruskan dan mengikut nasihat salah seorang guru saya sebelum ini, teruslah berpegang kepada Allah SWT walau apa pun dugaan yang diberikan”.

Demikian luahan selebriti, Mizz Nina yang diterjemahkan menerusi perkongsian di Instagram.

Nina sambil mengendong anak angkatnya, Musa turut berkongsi potongan doa khas buat semua yang memerlukan.

“Allah lebih mengetahui apa yang terbaik dan ujian-Nya buat kita. Malah, saya juga tidak mahu terus terbawa-bawa dengan perasaan sedih ketika tempoh ini.

“Itu yang saya risaukan kerana tidak mahu terlalu mengikut emosi dan doa ini adalah yang terbaik buat semua yang memerlukan,” tulisnya.

Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 42, juga meluahkan rasa terharu dengan doa dan sokongan ramai yang diterimanya susulan berita perceraiannya dengan penyanyi Noh Salleh, 37, baru-baru ini.

Sejak mengumumkan perpisahan mereka, bekas penyanyi itu terus dihujani komen-komen sokongan daripada pengikut serta rakan seperjuangan.

“Saya sempat singgah dan melihat pameran lampu dari Jepun. Struktur seakan bentuk telur ini hanya menyala pada waktu malam. Apa pun, tenang rasanya apabila dapat keluar membawa Musa menghirup udara segar. Terima kasih di atas doa dan kata-kata semangat.. Alhamdulillah dan semoga Allah SWT memberi ganjaran yang baik buat anda semua,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pasangan terbabit sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kemudian disusuli hantaran daripada mereka yang mengesahkan perceraian itu menerusi Instagram.

Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan banyak aspek sebelum berpisah secara baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here