Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PN akan terus sokong Perdana Menteri -

PN akan terus sokong Perdana Menteri

Perikatan Nasional (PN) tidak akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan sehingga pembubaran Parlimen.

Ahli Majlis Tertinggi gabungan tersebut, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pendirian itu adalah konsisten dengan komitmen PN untuk memastikan kestabilan politik negara terus terjamin, menurut laporan Astro AWANI.

“PN akan terus memberi sokongan kepada PM, itu merupakan pendirian PN. Kita inginkan kestabilan politik terus berlanjutan di negara kita.

“PN akan terus beri sokongan kepada Perdana Menteri, sehingga pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Logo Smart SBB, Aplikasi Rice Information Management System, Ladang’ 57 Beras Wangi Horeca dan 3FR SOP Manual di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini pada Ahad.

Dalam pada itu Ronald berkata, beliau yakin bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya Mei, berdasarkan tempoh penggal pentadbiran yang akan tamat.

Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan PRU15 lebih awal, sekiranya PN berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan mana-mana parti bebas untuk membuat keputusan sendiri, namun mereka perlu menanggung kesan daripada keputusan itu termasuk tidak menyokong kerajaan.

Sebelum ini dilaporkan PN bercadang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis antara Ismail Sabri dan PN yang diketuai Bersatu dibatalkan pada saat akhir.

Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, Parti Islam Malaysia (Pas), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).