Tiada perbincangan Bersatu tarik sokongan terhadap PM – Dr. Radzi

0
228

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih memberi sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tidak berbincang mengenai penarikan sokongan.

Itu kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin seperti dipetik BH Online, hari ini.

Ia susulan khabar angin bertiup kencang kononnya Perikatan Nasional (PN) akan menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri selepas Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan gabungan itu pada saat akhir, baru-baru ini.

Pertemuan berkenaan dipercayai bagi membincangkan tentang pelaksanaan terma perjanjian antara PM dengan kerajaan termasuk melibatkan perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Radzi, Bersatu tidak akan sewenang-wenangnya menarik sokongan terhadap kerajaan.

Pada masa sama, beliau berkata, parti itu juga akan menunggu untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Ismail Sabri.

Bagaimanapun, Radzi berkata, Bersatu masih belum menerima sebarang makluman mengenai alasan Perdana Menteri membatalkan pertemuan tersebut.

“Kita tak sebut akan ‘simply’ (sewenang-wenangnya) tarik sokongan (terhadap kerajaan Persekutuan), sebaliknya akan tunggu dan lihat apakah perkara akan disentuh dalam perbincangan itu nanti.

“Apa yang paling penting sekarang untuk kita memberi tumpuan kepada keadaan negara dalam konteks memberi fokus ke atas usaha transformasi pendidikan.

“Ini adalah fokus kita kepada rakyat bagi memastikan masyarakat sentiasa menerima yang terbaik dalam sebarang tempoh kita ada sebagai kerajaan. Pelaksanaan adalah lebih penting (berbanding jawatan Timbalan Perdana Menteri),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Keenam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1), Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri ketika ditemui media dalam majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2022 (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini berkata, kerajaan bersedia untuk mengadakan pilihan raya sekiranya ada pihak bertindak menarik balik sokongan terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau difahamkan dakwaan penarikan sokongan itu hanyalah kenyataan beberapa individu, bukannya kenyataan rasmi parti.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

Pertemuan itu yang dijadual kelmarin, dimaklumkan berhubung perjanjian ditandatangani antara PN dan Naib Presiden UMNO itu sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Situasi tersebut menyebabkan timbul khabar angin mendakwa PN mungkin menarik sokongan kepada Perdana Menteri susulan konflik tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here