Ahli Parlimen Puncak Borneo sah sertai PBB

0
31

TIMBALAN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongi menamatkan spekulasi apabila sah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengesahkan perkara itu selepas selepas permohonan Willie diterima PBB selaku parti tunjang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

“Keputusan untuk menerima Willie sebagai ahli PBB itu dibuat hari ini tanpa sebarang komitmen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Jalan Bako, di Kuching, hari ini.

Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu.

Beliau memenangi kerusi Parlimen itu sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada PBB, Genot Sinel.

Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 sebelum bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Willie pada Jun lalu, bagaimanapun memaklumkan beliau tidak pernah menyertai Bersatu, tetapi hanya diletakkan di dalam parti itu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Abang Johari ketika ditanya mengenai Rang Undang-undang (RUU) berkaitan larangan bertukar parti berkata, Sarawak sedang mengkaji semula Perlembagaan Negeri berhubung perkara itu.

“Sarawak memang sudah ada peruntukkan undang-undang berhubung perkara itu dalam Artikel 17 Perlembagaan Negeri Sarawak, tetapi kita tak dapat melaksanakannya kerana dahulu ia bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“GPS menyokong penuh RUU di Parlimen itu dan kita akan melihat peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak, Artikel 17 supaya ia sepadan dengan peruntukan yang diluluskan Parlimen,” katanya.

Mengenai PRU-15, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pihaknya kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi proses demokrasi itu yang akan diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

“Saya mengulangi pendirian, GPS akan meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here