Tak perlu kosong kerusi, kelayakan 4 ADUN Bersatu P. Pinang kekal ikut Perlembagaan

0
304

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang tidak perlu mengosongkan kerusi kerana kelayakan mereka sebagai wakil rakyat adalah kekal mengikut Pindaan Perlembagaan Persekutuan (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

Empat ADUN Bersatu Pulau Pinang berkenaan ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

Ketua Penerangan Armada Bersatu Pulau Pinang, Harris Idaham Rashid berkata, pindaan Perlembagaan itu yang telah diluluskan di Dewan Rakyat memberi makna yang jelas berkenaan tindakan tindakan yang boleh melucutkan seseorang itu daripada terus menjadi wakil rakyat.

Jelasnya, pindaan itu jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya dipecat oleh parti politik yang dianggotai.

Antara lain katanya, seorang Ahli Parlimen juga tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya parti politik yang dianggotainya membuat keputusan dasar untuk menukar penjajaran dan sokongan terhadap sesebuah gabungan.

“Kes yang melibatkan empat ADUN Pulau Pinang itu jatuh di bawah pengecualian pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 49A.

“Parti yang dianggotai oleh ADUN Bertam dan Telok Bahang telah membuat keputusan dasar untuk menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH).

“ADUN Seberang Jaya dan Sungai Acheh pula telah dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Armada Nasional turut menggesa supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan hasrat untuk menyambung prosiding di mahkamah untuk membatalkan kelayakan empat ADUN tersebut.

Ini kerana jelasnya, pindaan Perlembagaan Persekutuan mendapati tindakan-tindakan tersebut tidak sama sekali menjejaskan kelayakan seseorang sebagai wakil rakyat.

“Memandangkan Pakatan Harapan khususnya DAP telah menyokong penuh pindaan tersebut di Dewan Rakyat, mereka perlu membuktikan komitmen mereka dan melaksanakan pindaan yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

“Dalam masa sama, mereka seharusnya tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan pindaan tersebut demi menghormati persetujuan yang telah dicapai oleh kesemua 209 Ahli Parlimen yang mengundi pindaan tersebut termasuklah Ahli Parlimen dari DAP sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here