Mahathir umum Gerakan Tanah Air, perjuangkan Islam dan Melayu

0
437

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan gagasan baharu bersandarkan agenda Melayu dan Islam dengan nama ‘Gerakan Tanah Air’.

Mahathir selaku pengerusi gerakan itu berkata, gabungan berkenaan terdiri daripada parti Melayu, NGO dan orang perseorangan.

“Gerakan orang Melayu ini melibatkan parti-parti politik Melayu, NGO Melayu dan orang perseorangan daripada ahli profesional, akademik dan sebagainya.

“Kita menjemput semua orang Melayu yang berasa curiga tentang masa depan mereka supaya menyertai kita atau sekurang-kurangnya menyokong perjuangan kita (Gerakan Tanah Air),” katanya, dalam satu sidang media atas talian, hari ini.

Gerakan itu akan memperjuangkan Islam yang menjadi agama kaum Melayu dan mempertahankan Malaysia.

“Kita pilih nama sesuai gerakan iaitu dipersetujui Gerakan Tanah Air. Ini gerakan rakyat untuk tentukan nasib mereka lebih baik dengan tukar kerajaan yang mengutamakan kepentingan diri.

“Kita akan berjuang untuk rakyat dan agama, itu tujuan kita. Nama ini dah dipersetujui dalam mesyuarat,” katanya.

Gerakan Tanah Air akan diketuai oleh Mahathir sendiri bersama empat orang Timbalan Pengerusi dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

“Kita juga melantik pemimpin-pemimpin kita. Saya Dr Mahathir adalah pengerusi bagi gerakan ini, Timbalan Pengerusi ialah Ustaz Zamani Ibrahim (Presiden Berjasa), Datuk Ibrahim Ali (Presiden Putra), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Presiden Pejuang) dan Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak (Presiden IMAN).

“Kemudian kita akan pilih ahli-ahli dari pemimpin NGO, mereka akan duduk bersama satu taraf tiada perbezaan antara orang politik dan NGO atau orang perseorangan. Mereka akan duduk bersama dalam Jawatankuasa Gerakan Tanah Air ini,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here