[VIDEO] Tidak dapat penuh, separuh pun jadilah-Guru KAFA

0
517

KEPUTUSAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ibarat mimpi buruk buat tenaga pengajar kumpulan itu.

Lebih menyedihkan, sudahlah elaun tidak seberapa ditambah pula kos bebanan hidup yang tinggi membuatkan guru-guru ini seakan tidak dihargai.

Bagi guru KAFA yang hanya mahu dikenali sebagai Maman, dia merasa agak terkilan dengan pengumuman penangguhan itu sedangkan sebelum ini telah diberi harapan oleh JAKIM mengenai elaun cuti bersalin.

“Sudahlah kami hanya dapat elaun dan bukan gaji seperti penjawat lain. Perkataan elaun susah untuk meyakinkan orang terutama untuk buat pinjaman dan membeli barang ansuran.

“Elaun RM1,000 tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 11 peratus hanya tinggal RM885.25 sen sahaja. Apa kami nak makan dengan jumlah sebanyak itu. Mahu bayar bil dan barang keperluan lain lagi,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

Menurut Maman, bagi menampung perbelanjaan harian dia terpaksa bekerja sambilan sebagai penghantar makanan selepas habis waktu mengajar.

“Saya habis mengajar dalam jam 4 petang. Selepas solat dan mandi,saya menghantar makanan hingga jam 10 malam.  Ikutkan penat, Tuhan sahaja tahu tapi saya tiada pilihan kerana inilah salah satu sumber rezeki.

“Saya harap pihak berwajib boleh meneliti semula sebelum membuat keputusan. Jangan anaktirikan kami. Sudahlah tidak dapat kemudahan lain, takkan elaun pun mahu ditarik,” katanya.

Bagi guru KAFA yang hanya mahu dikenali sebagai Seri, penangguhan kemudahan bersalin dengan elaun menjadikan dirinya yang susah bertambah susah.

Pemegang diploma Pengajian Islam itu berharap kerajaan buka mata dengan keperitan guru KAFA yang semakin lama semakin dipinggirkan.

“Kami tiada sebarang elaun tambahan seperti guru lain dan hanya bergantung kepada elaun RM1,000 sahaja. Sudah tiba masa kerajaan ambil peduli tentang guru KAFA dan serapkan kami mengikut saluran yang betul.

“Gaji minimum sudah RM1,500 tapi kami masih begini. Jika benar sudah tiada jalan penyelesaian, janganlah mansuh semua, bagi separuh pun masih okay lagi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Guru KAFA Negeri Pahang (PEGUSAKAPA),Harmizi Hanafi berkata, isu ini berbangkit disebabkan status kontrak guru KAFA  dan bukan penjawat tetap kerajaan.

“Sikap acuh tak acuh pihak bertanggungjawab yang sekadar menabur janji untuk menjadikan mereka kakitangan berstatus tetap menjadikan isu ini semakin meruncing. Perkara ini serig dibincang tetapi tiada kata putus sehingga sekarang selain elaun yang sangat rendah.

“Setiap kali hampir pilihan raya , mereka akan ‘digula-gulakan’ kononnya akan diserap sebagai penjawat tetap tetapi selepas pilihan raya, hilang begitu sahaja.

“Jika diberi syarat untuk tambah elaun dengan memanjangkan waktu mengajar, perkara itu tiada masalah asalkan kerajaan dapat berbuat sesuatu atau mencari mekanisma bagi membela nasib mereka,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff mengesahkan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru KAFA.

Keputusan itu dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.

Kementerian berkenaan pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan itu adalah tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here