UMNO cuba burukkan Bersatu tanpa fakta

0
323

UMNO nampaknya sudah melupakan sasaran mereka sebelum ini iaitu komponen PH terutamanya DAP yang boleh dikatakan acap kali diserang dengan pelbagai isu.

Malah, ketika ini untuk mencari kenyataan yang keluar daripada mulut mereka untuk menghentam pemimpin DAP dan PKR juga adalah amat sukar.

Ramai hairan dengan sikap UMNO yang berubah mendadak seperti ada bibit-bibit untuk berbaik dengan PH. Mereka sebaliknya amat ketara malah tak henti-henti menyerang parti Bersatu terutamanya Muhyiddin Yassin.

Entah apa yang dibimbangkan sangat dengan Bersatu hinggakan kadangkala kenyataan yang keluar daripada mulut pemimpin UMNO menunjukkan tiada asas untuk bercakap demikian.

Contoh paling hampir Tok Chey nampak daripada Isham Jalil yang menyindir Presiden Pas, Hadi Awang tapi matlamat sebenar serangan menjurus kepada Muhyiddin dan Bersatu.

Dalam sindiran itu Isham mempertikaikan tindakan PN melakukan lockdown ketika Covid-19 sebelum ini dengan mengatakan ia adalah sekatan terpanjang yang menyebabkan rakyat sengsara.

Jika Isham lupa, Tok Chey nak ingatkan yang kerajaan PN pada masa itu bukan sahaja dipimpin oleh Bersatu sahaja. Ada juga parti lain iaitu UMNO yang merupakan parti dianggotai oleh Isham sendiri.

Takkan Isham tak ingat yang Ismail Sabri ketika menjadi Menteri Kanan Pertahanan – hampir setiap hari mengumumkan status mengenai lockdown, kes Covid, SOP baharu ketat dan longgar serta macam-macam perkara berkaitan pandemik itu.

Mustahil Isham tidak tahu yang Ismail Sabri ialah Naib Presiden UMNO. Adakah Isham yang baru dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mahu menggunakan serampang dua mata mahu menyindir Ismail Sabri?

Memang diakui kerajaan pada masa itu dipimpin Muhyiddin, tapi keputusan untuk kebaikan rakyat bukannya dibuat semberono tanpa mengambil kira suara menteri Kabinet lain daripada UMNO.

Sepatutnya sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan untuk memburukkan PN, biarlah berfakta dan bukannya hentam pukul rata.

Lagipun untuk mengatakan PN gagal memerintah pada masa itu adalah amat tersasar kerana dalam situasi kerusi Parlimen tidak stabil, kerajaan telah melakukan banyak keputusan penting yang melegakan rakyat.

Tok Chey masih ingat lagi bagaimana tindakan kerajaan yang berjaya mengarahkan pihak bank supaya memberikan moratorium kepada peminjam yang mana keputusan itu amat membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Lihatlah bagaimana rakyat dibantu dengan pelbagai bantuan hinggakan Covid-19 berjaya dikawal dengan baik. Banyak lagi tindakan betul dilakukan kerajaan tapi biarlah rakyat yang nilai sendiri kerana semua rakyat Malaysia melalui situasi tersebut.

Selain itu kenyataan yang mengatakan ekonomi makin teruk semasa PN memerintah waktu itu adalah satu lagi kenyataan dangkal untuk memesongkan fakta.

Tidakkah Isham sedar bahawa dalam keadaan pandemik ketika itu, situasi di seluruh dunia berhadapan dengan cabaran sama di mana sektor ekonomi tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Maka untuk menuding jari sepenuhnya kepada kerajaan PN adalah amat tidak wajar sekali memandangkan kerajaan pada masa itu cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa dan ekonomi negara.

Dan adakah Isham lupa bahawa siapakah Menteri Kewangan pada masa Muhyiddin memerintah dan siapa pula Menteri Kewangan ketika ini yang dipimpin oleh Ismail Sabri.

Bahkan adakah Isham tidak nampak kehadiran Tengku Zafrul dalam program BN yang mana Isham juga adalah anggotanya?

Satu lagi Tok Chey mahu bangkitkan, adakah keadaan ekonomi Malaysia ketika ini menjadi lebih baik apabila kerajaan PN era Muhyiddin tidak memerintah? Bagaimana dengan nilai Ringgit adakah makin mengukuh? Semua jawapan-jawapan itu ada di depan mata, boleh dijawab dengan mudah.

Maka terang dan nyata menunjukkan cubaan untuk memburukkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sebelum ini dan Bersatu tidak bersandarkan fakta sebenar.

Oleh Tok Chey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here