‘Biarlah ada sedikit ‘rendah diri’ apabila bercakap’ – kata Marzuki kepada Charles Santiago

0
1182

BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad meminta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago untuk memiliki sedikit sikap ‘rendah diri’ sebelum mengecam Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu kewarganegaraan.

Menurut Marzuki, beliau sebenarnya bingung memikirkan sikap ahli parlimen DAP itu, kerana bekas ketuanya itu banyak melakukan inisiatif pembaharuan berkaitan permohonan kewarganegaraan sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri.

Ini termasuk melayan permintaan Charles menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan 300 pemohon yang digerakkan olehnya.

Berikut merupakan sedutan tulisan Dr Marzuki berkaitan isu kecaman Charles.

Tulisan penuh Dr Marzuki boleh dibaca di pautan ini.

https://www.facebook.com/679581100/posts/pfbid02qYXuz3AfANvM4vA6FeEN3SRzeGDe24A5o4bcD2XKujMV4U7zTW3Fngm1vGU9ttSDl/


“Hanya beberapa jam selepas Art Harun berucap mengenai agenda reformasi Tan Sri Muhyiddin yang ramai orang terlepas pandang, beberapa orang Ahli Parlimen DAP mengecam ucapan itu. Antaranya Lim Kit Siang dan Charles Santiago.

Saya tak nak ulas pasal Lim Kit Siang. Dia sudah tua dan semakin menghampiri akhir hayat politiknya. Biarlah dia bersara dengan tenang.

Charles Santiago ada sedikit hubungan kerja dengan saya ketika zaman PH dahulu. Suatu hari Charles berhubung dengan saya meminta diadakan satu sesi pertemuan antara pemohon-pemohon kewarnageraan Malaysia dengan Tan Sri Muhyiddin. Sebagai Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan.

Saya sampaikan permintaan ini kepada Tan Sri Muhyiddin sambil mengingatkan beliau bahawa isu kewarganegaraan adalah amat sensitif dan boleh dijadikan modal serangan politik oleh Umno. Tambahan pula ia melibatkan permintaan Ahli Parlimen DAP.

Tan Sri Muhyiddin jawab mudah saja. Boleh. Ini bukan isu perkauman atau DAP. Tetapi isu kerakyatan dan undang-undang. Tan Sri Muhyiddin setuju diadakan sesi pertemuan itu.

Saya ingatkan hanya beberapa orang yang ingin berjumpa. Tetapi rupa-rupanya hampir 300 orang yang hadir. KDN menyediakan satu dewan besar yang dipenuhi oleh pemohon-pemohon kewarganegaraan. Sebahagian besarnya ialah kanak-kanak yang memohon di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin inilah kali pertama KDN mengadakan sesi dialog pemohon kewarganegaraan bersama Menteri Dalam Negeri atas inisiatif Ahli Parlimen DAP.

Ya, Tan Sri Muhyiddin pada ketika itu terdedah kepada serangan musuh politik yang menggunakan isu perkauman dan anti-DAP. Tetapi beliau tak kisah dengan semua itu. Kerana yang penting tugas beliau sebagai Menteri Dalam Negeri pada ketika itu ialah untuk menyelesaikan permasalahan yang berada dalam ruang lingkup tanggungjawabnya sebagai Menteri.

Dalam sesi itu, ada ibu bapa yang menceritakan tentang anak yang tiada dokumen kewarganegaraan hidup dalam keadaan yang tertekan. Sehinggakan ada yang cuba membunuh diri.

Saya lihat Tan Sri Muhyiddin amat terkesan dengan cerita ini. Dalam mesyuarat dengan pegawai-pegawai KDN selepas itu, beliau berulang kali mengingatkan pegawai supaya mempercepat dan mempermudahkan proses permohonan kewarganegaraan khususnya bagi anak tak sah taraf dan anak angkat. Jika ada merit selepas dokumen-dokumen yang sah dikemukakan dan siasatan terperinci dibuat, mereka yang layak boleh diperakukan untuk diluluskan permohonannya.

Hasilnya satu SOP baharu digubal untuk  memudahcara dan mempercepatkan proses permohonan kewarnageraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

(Baca di sini: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/529818/proaktif-selesai-isu-permohonan-kewarganegaraan-muhyiddin)

Ini adalah hasil sikap keterbukaan Tan Sri Muhyiddin. Beliau lihat ini adalah isu manusia dan kemanusiaan. Beliau tak pernah mendabik dada mengangkat dirinya sebagai reformis, tetapi reform berlaku apabila beliau mempunyai sikap dan niat yang betul.

Jadi apabila Charles Santiago menempelak Tan Sri Muhyiddin kononnya tiada perubahan yang berlaku dalam isu kewarganegaraan semasa Tan Sri Muhyiddin jadi Menteri Dalam Negeri saya jadi bingung.

Saya tidak menjangkakan orang seperti Charles Santiago akan memuji Tan Sri Muhyiddin atau mengenang budi beliau, tetapi sekurang-kurangnya biarlah ada sedikit ‘humility’ apabila bercakap.” – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here