ISTERI kepada penyanyi Ariff Bahran, Amirah Syazwani Mohd Ridzuan, 28, selamat melahirkan anak lelaki sulung, sekitar jam 3.32 pagi Ahad.
Berita gembira itu dikongsikan penyanyi lagu popular Kata Akhirmu menerusi hantaran Instagram miliknya.
“Alhamdulillah. Kami sangat bangga dengan kamu. Kamu kini anak lelaki saya,” tulisnya.
Menerusi entri berbentuk video itu, Ariff berkongsi visual isterinya sedang menenangkan cahaya mata mereka yang sedang menangis.
Perkongsian itu turut memaparkan Ariff sedang menimang zuriatnya itu.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis menitipkan ucapan tahniah selain mendoakan agar isteri dan bayinya tersebut sentiasa sihat dan dilindungi Allah.
Terdahulu, Ariff dan Amirah Syazwani mendirikan rumah tangga pada 3 September, tahun lalu di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam.